Call Us at 6786 5545. Instagram @darulghufran

1441 Hijrah: Masuk Dengan Baik, Keluar Dengan Baik – Coretan Imam Kampung Tampines-Simei

Seolah telah menjadi satu adat kemestian bagi masyarakat Islam kita (setempat), menyambut ketibaan awal tahun baru Hijrah dengan berkumpul dan membaca doa di masjid. Sepanjang dan selama ianya menjadi amalan rutin yang kita warisi sejak turun temurun, apakah kita pernah bertanyakan keaslian sumber amalan ini? Apakah benar dakwaan yang mengatakan bahawa ianya semata-mata baru, perlu ditolak kerana tiada langsung sebarang sumber asal yang boleh dijadikan sandaran untuk dibudayakan?

Melalui sedikit penelitian terhadap Ayat-ayat al-Quran serta Sunnah NabiNya Muhammad , di sana kita mampu ketemukan beberapa sumber asal yang hakikatnya boleh dijadikan sandaran umum untuk diusahakan sesuatu yang baik. Ianya boleh diibaratkan sebagai suatu akhiran yang baik serta awalan yang baik. Contohnya adalah seperti berikut:

  • Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. berfirman (yang bermaksud):

((Dan katakanlah (Wahai Muhammad), Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku (ke dalam satu-satu urusan agama ini) dengan kemasukan yang benar (jujur lagi baik) dan keluarkanlah aku juga dengan keluaran yang benar (jujur lagi baik),dan jadikanlah untukku agar mendapat kekuatan dan bantuan (yang sebenarnya) dari sisiMu))

                                                                                                            [al-Israa’: 80]

  • Walau pun para Ulama Tafsir ada berbeza riwayat dalam menceritakan peristiwa perintah yang ada dalam ayat ini ketika ianya ditujukan kepada Nabi ﷺ, namun suatu kaeadah umum yang lebih disepakati oleh mereka adalah; ‘bahawa satu-satu penyataan ayat difahami (faedah dan pelajarannya) secara lafaz am, bukan (mesti terikat) berdasarkan sebab kejadian (turun ayat) yang khusus semata.’
  • Justeru, memasuki tahun baru Hijrah juga suatu perkara yang harus untuk dimulakan dengan baik, sebagaimana mengakhiri tahun Hijrah juga perlu untuk dipastikan dengan sesuatu akhiran yang baik. Awalan dan akhiran yang baik ini boleh sahaja diterjemahkan dalam bentuk Ibadah seperti berdoa, Istighfar, berzikir, solat dan seumpama dengannya.
  • Baginda Nabi S.A.W. pernah bersabda dalam riwayat yang sohih (yang bermaksud):

“…(Sesungguhnya) amalan (yang paling menentukan/memberikan kesan kepada seseorang) adalah amalan akhiran (penutup)” 

                                                                                                          [Riwayat Bukhari]

  • Justeru, contohnya kita melihat Baginda Nabi , amat menggalakkan agar kita memelihara ibadah solat fardhu asar berjemaah. Ini bagi menjamin agar penutup amalan harian seseorang yang bakal dibawa oleh Malaikat Pencatat Amal menghadap Allah ﷻ di penghujung hari itu, adalah yang terbaik lagi jujur buat dirinya pada hari tersebut.
  • Begitulah juga halnya dalam kita menutup tirai tahunan buat diri kita. Sudah tentunya lebih terpuji dan berharga sekiranya ditutup dengan sesuatu amalan yang baik. Seperti dengan berzikir, Istighfar, munajat dan doa agar diberikan pengampunan dan keredhaan oleh Allah , khusus atas segala kelemahan dan kekurangan sepanjang setahun terdahulu.

Namun begitu, dalam usaha kita untuk melakukan sesuatu yang jujur-baik pada akhiran atau awalan sesuatu perkara, amat perlu diingatkan agar ianya berpada dengan amalan-amalan yang menurut kaedah serta sandaran syariat yang bersih sahaja. Di sana mungkin terdapat beberapa kekeliruan amal yang berlaku secara tidak disedari. Amalan seperti ini perlu dijauhi dan ditinggalkan, seperti:

  • Meyakini bahawa di sana ada do’a khusus yang mesti (tidak dapat tidak) dibaca, atau pun satu-satu bentuk selawat mahu pun zikir KHUSUS yang mesti dibaca pada malam atau siang harinya. Keyakinan bahawa hanya dengan do’a-do’a atau zikir-zikir khusus itu sahajalah yang benar-benar akan menjamin pengampunan serta Rahmat Allah ke atas diri seseorang. Lebih-lebih lagi sekiranya amalan tersebut didatangkan melalui riwayat yang direka/palsu terhadap Baginda Nabi .
  • Mayakini bahawa di sana ada amalan puasa khusus pada hari terakhir Zulhijjah serta pada awal (hari pertama) Muharram, yang kononnya dijanjikan dengan ganjaran yang begitu hebat besar.
  • Barangkali mereka berdalil dengan apa yang dikatakan hadith, yang berbunyi;

    Barangsiapa yang puasa pada akhir hari Zulhijjah dan puasa awal tahun pada bulan Muharram, maka dia telah menutup akhir tahun dengan puasa dan membuka awal tahunnya dengan puasa. Semoga Allah manghapuskan dosanya selama lima puluh tahun!!”.
  • hadith di atas adalah di antara contoh riwayat hadith yang diistilahkan oleh para Ulamak Hadith sebagai la asla lahu’ (tiada sumber asal baginya). Atau dengan kata lain hadith maudhu’, yang berupa rekaan/ciptaan, sekaligus pendustaan terhadap RasululLah  .  Beramal dengan hadith-hadith ini seperti ini adalah Haram hukumnya menurut jumhur ulamak yang muktabar.
  • Cukup bagi seseorang yang ingin berpuasa sunat pada awal hari pertama Muharram dengan menyandarkan amalannya kepada kelebihan umum yang sedia termaklum bagi bulan Muharram itu sendiri. Ianya merupakan salah satu daripada bulan-bulan Haram yang telah dipilih oleh Allah daripada dua belas bulan lainnya yang ada dalam setahun. Sebagaimana di dalam riwayat yang sohih, bahawa Baginda Nabi ﷺ  pernah bersabda (yang bermaksud):

Puasa yang paling afdhal selepas daripada puasa Ramadhan adalah (puasa) pada bulan Allah yang disebut (dikenali sebagai) bulan Muharram…..”

                                                                                                     [Riwayat Muslim]

Di dalam penulisan kerdil ini, penulis ingin mencadangakan beberapa perkara yang mungkin kiranya boleh dijadikan sebagai panduan bagi semua, di dalam kita sama ada menyambut atau pun menganjurkan apa yang selalunya diistilahkan sebagai majlis sambutan Awal Muharram:

  • Tidak terlalu membesar-agungkan majlis yang seperti ini, lebih-lebih lagi sehingga ke peringkat menganggap ianya sebagai suatu upacara Ibadat yang mesti atau wajib dilakukan. Atau mungkin sehingga ke peringkat ianya dilakukan dalam bentuk gah yang dibangga perdanakan, yang boleh sahaja membawa kepada sikap pembaziran, bangga-riya’ dan lainnya.
  • Harus difahami serta difahamkan kepada umum bahawa sambutan yang dilakukan sebenarnya adalah berdasarkan kepada ‘uruf (suatu yang menjadi kebiasaan yang disenangi oleh masyarakat setempat) atau adat tradisi yang diwarisi turun temurun.
  • Para ulamak muktabar sepakat menggunakan satu kaedah (dalam Ilmu Usul Fiqh) yang menyebut;  “al-‘Adat al-Muhakkamah”. Maksudnya ; “Adat yang tidak bercanggah dengan syara’ boleh menentukan sesuatu tindakan dan perbuatan”.
  • Perlu dijaga isi kandungan majlis, aktiviti serta bentuk perjalanannya agar benar-benar sesuai dengan kehendak syariat. Sebarang bentuk amalan mahu pun keyakinan yang disandarkan kepada sumber batil (palsu) hendaklah dijauhkan.
  • Antara amalan yang dirasakan sesuai sebagai cadangan dan panduan adalah seperti;
  • Membaca zikir, wirid atau pun doa yang ma’thur, yang sabit dibaca serta dianjurkan oleh Baginda Nabi  ﷺ.
  • Bertaubat kepada Allah ﷻ dengan beristighfar, atau solat sunat dan seumpamanya.
  • Berdoa dengan sesungguhnya agar diberikan kekuatan dan petunjuk serta bantuan untuk menyelusuri cabaran kehidupan di sepanjang tahun baru yang mendatang.
  • Mengambil peluang himpunan manusia yang ramai untuk diberikan nasihat serta panduan-panduan yang berupa Petunjuk Kenabian (Al-Hadyu al-Nabawi) kepada sesama yang hadir.

Penulisan yang kerdil ini diharapakan dapat membuka minda sedar setiap kita agar sentiasa memerhatikan setiap amalan yang kita kerjakan. Kita harus elakkan diri dari melakukan sesuatu yang mungkin sahaja tidak mendatangkan sebarang manfaat, bahkan mungkin sahaja lebih mengundang  mudharat. Dalam masa yang sama kita juga harus mengetahui asas sandaran satu-satu amalan yang ingin dilakukan, agar ianya lebih bermakna dalam melahirkan penghayatan terhadap jiwa sendiri.

 “Ya Allah! Masukkanlah kami ke tahun baru Hijrah ini dengan kemasukan yang jujur-benar, serta keluarkanlah kami nanti juga dengan keluar yang bersih-mulia”, amin Ya Rabb al-‘alamin.